Wednesday, January 28, 2009

Sekapur Sirih



Assalamualaikum , salam perkenalan dari saya untuk semua …

Terlebih dahulu, terima kasih untuk anda yang sudi meluangkan masa untuk melayari blog ringkas ini. Namun diharapkan dapat memberi manfaat pada anda. Insya Allah… bagaimana keadaan anda sekalian? Moga-moga kesihatan yang baik diberikan pada anda dan saya agar dapat meneruskan kehidupan ini dengan lebih bermakna. Hari ini, rasanya ramai sahabat saya ceria menikmati kehidupan seharian dengan senyuman indah… Ia, seindah terbitnya mentari… bukankah begitu? Namun mungkin juga yang tidak merasai keindahan itu pada ketika ini? Mungkin? Hmm… setiap yang kita lalui pasti ada hikmahnya… kekurangan dan kelebihan yang kita peroleh membantu kita muhasabah diri. Sesungguhnya, impian dan harapan pasti dikecapi bersama doa… Insya Allah…

Disini saya ingin berkongsikan bersama anda mengenai isu semasa yang terjadi masa kini… mari kita renungkan…

Pendahuluan

Di sekolah, kita didedahkan dengan pelbagai isu disiplin pada masa kini. Di bawah ini adalah antara jenis masalah pelajar di sekolah.

Jenis Masalah Pelajar

  1. Masalah akademik
  2. Masalah sosial

Masalah Akademik Pelajar

Kita ketahui, pelajar-pelajar di dalam sesebuah kelas mempunyai perbezaan dari segi kecerdasan, kebolehan, fizikal, minat, bakat dan sebagainya. Seara umumnya, pelajar-pelajar yang sentiasa menghadapi masalah pembelajaran adalah terdiri daripada pelajar-pelajar yang mempunyai I.Q. yang rendah.


Faktor-faktor Masalah Pembelajaran

Faktor masalah pembelajaran mungkin terdiri daripada:

  1. Kurikulum kurang sesuai dengan perkembangan kognitif pelajar.
  2. Strategi dan kaedah mengajar yang digunakan kurang sesuia diterima oleh pelajar.
  3. Bahan pembelajaran yang disediakan kurang menarik minat pelajar-pelajar.

Jika kelemahan-kelemahan tersebut tidak dibaiki, pelajar-pelajar akan mulai hilang minat dalam aktivit pembelajaran mereka. Masalah-masalah pembelajaran akan berhimpun hingga ke peringkat di mana pelajar kehilangan minat untuk meneruskan aktiviti pembelajaran dan kerap ponteng sekolah. Akibatnya, pelajar-pelajar akan ketinggalan jauh di belakang dalam pelajaran kerana tidak dapat mengikuti apa yang diajarkan oleh guru atau sebab seringkali tidak hadir sekolah.


Faktor peribadi

Faktor ini merupakan masalah yang berhubung rapat dengan kemiskinan dan masalah sosial. Kemiskinan keluarga dan persekitaran sosial yang rendah biasanya menjejaskan prestasi pembelajaran pelajar di sekolah. Ada sesetengah pelajar yang miskin terpaksa membuat kerja sambilan untuk menambahkan pendapatan keluarga sehingga mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk belajar. Pelajar-pelajar ini juga tidak mendapat galakan daripada ibu bapa mereka. Tambahan pula, pelajar-pelajar ini biasanya bergaul dengan rakan-rakan sebaya yang juga menghadapi masalah peribadi yang serupa. Mereka sama-sama tidak mempunyai motivasi yang kuat untuk belajar.


Faktor Kurang Kecerdasan

Faktor kurang kecerdasan adalah berkait rapat dengan masalah mental. Pelajar-pelajar yang menghadapi masalah mental ini ialah pelajar-pelajar yang lambat berfikir, cepat lupa, sukar memahami sesuatu, lemah pengamatan dan sebagainya. Masalah mental wujud di kalangan pelajar disebabkan perkara berikut:

  1. Warisan keturunan ibu bapa.
  2. Kelahiran secara tidak normal seperti kesulitan kelahiran atau kelahiran tidak cukup bulan.
  3. Kecerdasan otak kerana kena penyakit atau kemalangan
  4. . Kekurangan makanan yang berzat.

Faktor Mental

Faktor mental dalam masalah pembelajaran dapat diperlihatkan seperti tanda-tanda berikut:

  1. Tidak boleh membunyikan perkataan-perkataan dengan tepat
  2. Tidak boleh menyusun perkataan-perkataan untuk membina ayat dengan tepat
  3. Cepat lupa apa yang diajarkan oleh guru
  4. Kadar bacaan lambat atau langsung tidak boleh membaca
  5. Jangka masa penumpuan perhatian kepada pembelajaran terlalu singkat.
  6. Tidak boleh mengingati turutan, misalnya tidak boleh menghafaz sifar darab.
  7. Tidak boleh mengikuti aktiviti pengajaran guru dalam kelas biasa.
  8. Kebolehan memahami konsep dan menguasai kemahiran adalah lemah dan terhad.
  9. Malas, kurang minat serta tidak mempunyai semangat untuk membaca.

Masalah pembelajaran tersebut boleh diatasi melalui pendidikan pemulihan jika pelajar mengalami masalah mental yang ringan. Bagi kes yang berat, seperti masalah terencat akal, bantuan guru khas diperlukan untuk mengajar pelajar-pelajar tersebut dalam sebuah sekolah khas.


Faktor fizikal

Faktor ini boleh kita kaji daripada aspek kesihatan pelajar. Pelajar-pelajar yang kurang sihat akan menghadapi masalah pembelajaran di sekolah. Oleh itu masalah pembelajaran adalah berkait rapat dengan faktor kesihatan seperti berikut:


  1. Kekurangan makanan yang berzat akan merosakkan kesihatan pelajar. Mereka yang kekurangan zat makanan biasanya cepat merasa letih. Oleh itu, mereka tidak boleh menumpukan perhatian terhadap pengajaran guru dengan sepenuhnya. Mereka juga kurang daya dan semangat untuk menyiapkan kerja-kerja yang diberikan oleh guru.
  2. Kekurangan tenaga belajar juga timbul kerana pelajar terpaksa membuat kerja-kerja sambilan untuk menolong ibu bapa. Pelajar-pelajar ini sentiasa kelihatan letih dan kurang semangat untuk membaca.
  3. Pelajar-pelajar yang kurang sihat mudah diserang berbagai jenis penyakit. Mereka sering bercuti sakit. Pelajaran mereka pasti terganggu kerana kerap tidak hadir ke sekolah.
  4. Masalah kecacatan fizikal seperti pekak, bisu, buta, gagap, sengau, kurang pendengaran, penglihatan kurang jelas dan sebagainya boleh menghalang kemajuan pembelajaran pelajar.

Faktor Psikologi

Faktor psikologi adalah berkait rapat dengan masalah emosi. Pelajar-pelajar yang menghadapi masalah emosi biasanya mempunyai perasaan takut, benci, diam, malu, tidak berkeyakinan, rendah diri dan sebagainya.

Masalah emosi berpunca daripada faktor-faktor masalah yang lain seperti faktor pembelajaran, peribadi, mental dan fizikal. Misalnya, mereka yang miskin mungkin merasa takut dan rendah diri. Pelajar-pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran mungkin akan membenci guru dan sekolah atau menjadi seorang pemalu. Pelajar-pelajar yang mempunyai kecacatan fizikal mungkin akan hilang keyakinan diri dalam aktiviti pembelajaran.

Faktor-faktor masalah pembelajaran yang dibincangkan diatas boleh menjejaskan prestasi pelajar dalam aktiviti pembelajaran mereka. Tugas guru ialah mengesan dan berusaha membantu pelajar-pelajar tersebut mengatasi masalah-masalah pembelajaran yang mereka hadapi.


Cara-cara Mengesan Masalah Pembelajaran

  1. Mengenal pasti masalah pembelajaran pelajar dalam penguasaan kemahiran membaca, menulis atau mengira dengan menggunakan cara-cara berikut:

a) Pemerhatian

b) Profil dan Rekod

c) Ujian kertas dan pensel

d) Latihan harian

e) Soal jawab/kuiz

  1. Senaraikan semua masalah pembelajaran yang dikenal pasti.
  2. Mengesan punca masalah dengan menggunakan ujian diagnostik.

Isu disiplin sekolah hari ini…

Masalah Sosial Pelajar

Masalah sosial merupakan masalah disiplin yang sering berlaku di sekolah, khasnya di sekolah menengah masa kini. Ia adalah berkaitan rapat dengan tingkah laku bermasalah pelajar. Di antara salah laku yang berat ialah tingkah laku delinkuen, penyalahgunaan dadah dan tingkah laku tidak bermoral.


Menghisap Rokok dan Penyalahgunaan Dadah

Dadah ialah sebarang bahan kimia seperti ganja, heroin, morfin, pil psikotropik, inhalan dan sebagainya apabila dihidu, dihisap, disuntik atau dimakan akan mengubah fungsi tubuh badan, perasaan atau kelakuan seseorang.

Penyalahgunaan dadah bukan sahaja menjejaskan kesihatan individu diri tetapi juga merosakkan keharmonian keluarga serta norma masyarakat, dan seterusnya mengancam keselamatan dan kemakmuran negara. Apabila seseorang itu menjadi penagih dadah, dia akan berusaha mendapatkan bekalan dadah dengan apa cara sekalipun, termasuk melakukan jenayah.

Dalam tahun 1980-an, kegiatan penagihan dadah bukan sahaja telah menular di kalangan orang dewasa tetapi juga di kalangan pelajar-pelajar sekolah. Mengikut sumber kajian Kementerian Pelajaran Malaysia, di dalam tahun 1983, seramai 192 orang pelajar sekolah didapati telah melibatkan diri dalam aktiviti penyalahgunaan dadah. Pada tahun 1986, bilangan pelajar yang terlibat telah meningkat kepada 240 orang. Mengikit angka statistik, sejak tahun 1981 hingga 1996, jumlah orang yang melibatkan diri dalam penyalahgunaan dadah adalah sebanyak 200,000 bilangannya. Di dalam tahun 1996 seramai 8,307 penagih baru yang dikesan dan seramai 1,445 (17.4%) orang pelajar dalam lingkungan umur 13-15 (89 orang), 16-17 (434 orang dan 18-19 (922 orang) menghisap dadah.

Sekiranya kegiatan penagihan dadah di peringkat sekolah tidak dapat dicegah dan dihapuskan, Kurikulum dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita tidak akan membawa sebarang erti. Jika seseorang pelajar melibatkan diri dengan penyalahgunaan dadah, sudah pasti taraf pencapaian pelajarannya akan merosot. Usaha melahirkan pelajar yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia dan bertanggungjawab akan gagal. Masa depan negara yang bergantung kepada sumbangan tenaga pelajar akan menjadi gelap jika ramai di antara mereka melibatkan diri dengan kegiatan penagihan dadah.


Program Menangani Masalah Penyalahgunaan Dadah

Dalam melaksanakan program mencegah dan menghapuskan kegiatan penyalahgunaan dadah di sekolah, pendekatan-pendekatan berikut boleh dipertimbangkan:

  1. Menganjurkan ceramah untuk menyedarkan pelajar bahayanya penyalahgunaan dadah.
  2. Menganjurkan kempen anti dadah.
  3. Mengadakan pameran anti dadah
  4. menganjurkan pertandinganmelukis poster dan menulis karangan yang berkaitan najis dadah.
  5. Membimbing pelajar dengan memberi perkhidmatan kaunseling
  6. Mengedarkan risalah dan bahan bercetak mengenai najis dadah.
  7. Menubuhkan Jawatankuasa Pencegahan Kegiatan Penagihan Dadah
  8. Melibatkan sepenuhnya semua pelajar dalam aktiviti kokurikulum.

Dalam usaha mencegah kegiatan penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar,peranan guru adalah amat penting. Sikap positif dan usaha seseorang guru adalah senjata utama ke arah menghapuskan najis dadah di sekolah. Seperti kata pepatah “Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati’’. Oleh itu perubahan tingkah laku murid harus diperhatikan. Umumnya, tanda-tanda yang menunjukkan pelajar terlibat dalam penagihan dadah ialah:

    1. Selalu ponteng sekolah
    2. Prestasi pelajaran merosot secara mendadak
    3. Tabiat pelajar dan tingkah lakunya berubah dari baik kepada buruk
    4. Mata berwarna merah dan sering memakai cermin mata hitam.
    5. Sering ke tandas.
    6. Hanya berkawan dengan kumpulan tertentu
    7. Tidak berminat untuk belajar serta selalu mengantuk dalam kelas.
    8. Selalu melindungi bahagian-bahagian tubuh yang tertentu yang terdapat tanda-tanda suntikan.
    9. Kerap kali, sama ada memiliki terlalu banyak wang atau terlalu papa.


Budaya Sekolah Menangani Masalah Pelajar

Budaya Sekolah

Fungsi utama sekolah ialah untuk memberi pendidikan dan latihan. Pendidikan dianggap sebagai proses membentuk seorang manusia yang sanggup berfikir kritis dan mempunyai daya kreatif. Latihan pula bertujuan memberi kemahiran teknikal dan kegiatan psikomotor. Oleh itu peranan sekolah ialah untuk memberi peluang kepada manusia, khususnya generasi muda untuk menguasai pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang difikirkan sesuai untuk meneruskan perkembangan masyarakat.

Sekolah sebagai suatu institusi masyarakat juga mementingkan perkembangan dan perubahan tingkah laku murid-murid mengikuti arah aliran dan kehendak masyarakat. Justeru itu, persekolahan yang berorganisasi ini memainkan peranan dalam mengekalkan corak kehidupan dan kebudayaan yang dianggap sesuai. Misalnya, perkara yang berkaitan interaksi sosial dan moral seperti budi bahasa, sopan santun dan sifat hormat menghormati biasayan dipelajari di sekolah. Tidak ketinggalan juga, sekolah mengajar murid seperti mencinta sekolah dan alam sekitar, demi memupuk budaya sekolah tersendiri.

Pendidikan adalah proses dan aktiviti yang bertujuan membawa perubahan kepada seseorang individu mengikut norma dan nilai sesuatu masyarakat. Pada zaman moden ini, sekolah dipertanggungjawabkan untuk memberi pendidikan dan menghasilkan perubahan positif ke atas pelajar. Oleh itu, sekolah merupakan pengaruh yang utama sebagai satu aspek alam sekeliling yang mendatangkan kesan di dalam pembentukan sahsiah pelajarnya.

Budaya dan Iklim Sekolah

Budaya sekolah kadangkala dikenali sebagai iklim sekolah mengandungi empat aspek utama iaitu aspek fizikal, aspek sosial, aspek perkembangan intelek dan aspek pnggunaan bahasa.


Aspek fizikal seperti:

  1. Kebersihan bilik darjah, kantin serta angota-angota sekolah
  2. Keselamatan anggota-anggota sekolah dilindungi dengan peraturan sekolah, alatan dan kemudahan, keselamatan yang lengkap termsuk mengadakan perkhidmatan keselamatan seperti pertolongan cemas dan kawalan keselamatan lalu lintas
  3. Kemudahan-kemudahan sekolah cukup dan lengkap serta digunakan dengan baik dan cermat.
  4. Keselesaan seperti ruang untuk bergerak yang mencukupi, peredaran udara segar yang membawa suasana tenang dan kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran dan
  5. Keindahan sekolah dengan tumbuh-tumbuhan, bunga, pokok serta perhiasan-perhiasan yang merangsangkan suasana keselesaan.


Aspek sosial seperti:

  1. hormat- menghormati di antara angota-angota sekolah serta mematuhi peraturan-peraturan sekolah;
  2. rasa tangungjawab terhadap diri, anggota sekolah lain serta sekolahnya;
  3. bekerjasama di antara anggota-anggota sekolah, bersedia untuk membantu dan rela menjalankan tugas masing-masing tanpa rungutan;
  4. perpaduan dimanifestasikan daripada integrasi pelbagai kaum dalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum;
  5. kemesraan dimanifestasikan daripada pergaulan dan keriangan dalam aktiviti-aktiviti sosial di sekolah
  6. keadilan dimanifestasikan dalam hukuman dan ganjaran yang mengikut peraturan, layanan sama serta pengagihan kerja dan tugas yang adil.

Aspek perkembangan intelek merangkumi aspek budaya ilmu seperti semangat ingin belajar, sama ada dalam bilik darjah atau di perpustakaan sekolah.

Aspek penggunaan bahasa meliputi penggunaannya secara betul dan jitu di dalam dan di luar bilik darjah.

Ciri-ciri Iklim Persekolahan

Iklim persekolahan yang dikatakan baik dan dikenali sebagai iklim positif dan terbuka mengandungi ciri utama seperti berikut:

1.Perhubungan yang saling hormat-menghormati di antara kakitangan akademik dengan muridnya.

2. Kesukarelaan murid-murid menerima aspirasi dan peraturan sekolah yang diaturkan oleh pihak pentadbiran sekolah.

3. Perasaan kekitaan yang timbul di antara murid-murid dan guru-guru dengan menerima sekolahnya sebagai sebuah keluarga yang mesra dan bahagia.

4. Kewujudan satu keadaan yang setiap murid melibatkan diri dalam kegiatan keilmuan dalam setiap kesempatan, termasuk usaha menggunakan bahasa dengan betul dan sesuai

5.Kewujudan disiplin yang baik, dengan tiada masalah pembelajaran, tiada konflik, tiada pelanggaran disiplin, tiada masalah keceriaan sekolah dan sebagainya.

Iklim sekolah yang dikatakan negatif atau tertutup mengandungi beberapa ciri utama seperti berikut:

  1. Angota-anggota sekolah sering menghadapi ancaman tekanan dan konflik keperibadian, serta masalah disiplin sekolah.
  2. Perasaan kekitaan dan semangat kerjasama di antara anggota-anggota sekolah tidak dapat diperlihatkan.
  3. Keceriaan sekolah adalah kurang memuaskan.
  4. Keterlibatan dalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum adalah sekadar minimum sahaja.
  5. Interaksi sosial di antara anggota-anggota sekolah diperlihatkan pasif.
  6. Kepimpinan Guru Besar/ Pengetua bercorak autokratik, manakala guru-guru bersikap acuh tak acuh dan kurang semangat mengajar.

Rujukan:
Mok Soon Sang (2008), Pengurusan Bimbingan dan Kaunseling. Multimedia-ES
Resources Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.




Komunikasi Berkesan Ke Arah Budaya Cemerlang


Jenis-jenis Komunikasi Membina Hubungan

  1. Komunikasi secara lisan melibatkan proses pemindahan maklumat atau idea secara lisan daripada seorang individu kepada seseorang atau sekumpulan pendengar.

a) Di dalam bilik kaunseling, pelajar biasanya memainkan peranan sebagai penyampai maklumat dan guru kaunselornya sebagai fasilitator, pendengar dan penerima.

b) Komunikasi secara lisan ini hanya berkesan apabila maklumat atau idea diterima dengan jelas dan mudah difahami.

c) Sehubungan itu, suara seseorang hendaklah jelas dan tepat, di samping perkataan-perkataan yang digunakan hendaklah ringkas dan mudah difahami oleh mana-mana pihak.

  1. Komunikasi secara bukan lisan ialah penyampaian mesej melalui gerak isyarat seperti isyarat tangan, gerak kepala, ungkapan muka dan sebagainya.

a) Misalnya, mengangguk kepala boleh diertikan sebagai tanda persetujuan. Menggeleng kepala mungkin boleh diertikan sebagai tidak mahu menerima.

b) Senyuman boleh diertikan sebagai memberi galakan peneguhan.

c) Menunjuk masam muka menggambarkan kemarahan, dan lain-lain lagi.

Komunikasi Interpersonal dan Intrapersonal

Menurut Gardner, kecerdasan interpersonal merupakan kebolehan memahami orang lain. Manakala kecerdasan intrapersonal ialah kebolehan membentuk diri sebagai model yang sesuai, dan dapat menggunakan model ini beroperasi secara efektif dalam kehidupannya.

Halangan-halangan Komunikasi Interpersonal

  1. Bentuk komunikasi bersifat autokratik
  2. Kekurangan empati terhadap pendengar
  3. Bersifat angkuh dan enggan terima idea orang lain.
  4. Mendengar dengan separuh hati atau mendengar secara memilih sebahagian kata yang berminat sahaja
  5. Sering mencelah atau menyampuk dalam proses komunikasi.
  6. Menggunakan bahasa kasar
  7. Kekurangan kepercayaan diantara dua pihak
  8. Gangguan emosi semasa komunikasi
  9. Gangguan luar seperti bualan, nyanyian, kebisingan dan sebagainya dari kawasan yang dekat.
  10. Kata lisan tidak seimbang dengan komunikasi bukan lisan
  11. Konsep dan pengalaman penyampai dan pendengar tidak bertindih
  12. Komunikasi di bawah keadaan paksa
  13. Mesej yang disampaikan salah diertikan.

Kemahiran- Kemahiran Komunikasi Interpersonal

  1. Membina Hubungan

a) hubungan baik dilihat dalam situasi berikut:

· Kemesraan perhubungan dalam pertemuan

· Penyampaian masalahnya tanpa keraguan

· Tanda kepercayaan lahir akibat penerimaan sepenuhnya tanpa syarat

b) Hubungan baik seperti ini hanya dapat dicapai apabila perasaan empati kedua-dua dapat dirasai.

c) Dengan berperasaan empati ini, hubungan baik di antara dua pihak akan dapat terus dijalin dan dikekalkan sepanjang proses komunikasi itu.

  1. Kemahiran Memberi Perhatian

a) Di dalam proses komunikasi, memberi perhatian merujuk kepada komunikasi bukan lisan, walaupun ia juga diperlukan dalam komunikasi lisan.

b) Komunikasi bukan lisan dibahagikan kepada beberapa komponen, iaitu gaya badan(posture), gerak isyarat, air muka, kontak mata, dan juga nada suara.

  1. Kemahiran Mendengar

a) Rogers (1951) merumuskan: “Tanpa perhatian, mendengar sahaja tidak akan membawa kefahaman, maka komunikasi tidak akan wujud.”

b) Model latihan mendengar membahagikan tingkah laku mendengar kepada tiga komponen, iaitu memberi perhatian termasuk kontak mata, gaya relaks, dan respon yang pula membawa maksud mendengar.

c) Mendengar dengan telinga ketiga (Reik, 1948) melibatkan kemahiran memikir dan membayangkan bagaimana orang lain merasa, dan dengan ini, ia merupakan langkah pertama ke arah empati.

  1. Ciri-ciri Kemahiran Berkomunikasi yang berkesan

a) Bertutur dengan penggunaan variasi nada, suara yang lantang, tatabahasa yang betul, perkataan yang tepat serta mudah difahami, penghentian sejenak yang berpatutan dan bebas daripada sisipan perkataan seperti “umm”, “ahh”, “er”, “ok, dan sebagainya

b) Menggunakan perkataan-perkataan yang dapat difahami oleh pendengar dan tidak menggunakan perkataan-perkataan yang mempunyai mesej berbentuk arahan, amaran, tuduhan, ugutan, kritikan, ejekan dan lain-lain yang boleh menyinggung perasaan pendengar.

c) Menulis dengan saiz tulisan yang mudah dibaca, ejaan yang tepat dan mudah difahami, tatabahasa yang betul, barisan ayat yang teratur, serta jarak di antara barisan ayat yang berpatutan.


Cara-cara Mengatasi Masalah Komunikasi Guru

  1. Bersifat penyayang dan sering tunjuk air muka yang manis demi merapatkan hubungan dua pihak
  2. Bertutur dengan suara lantang, jelas dan kadar cepat-lambat percakapan yang sesuai supaya pendengar dapat mendengar dengan tepat.
  3. Gunakan perkataan-perkataan yang sesuai supaya pendengar dapat memahaminya tanpa keliru
  4. Elak mengkritik atau mengejek orang yang melakukan kesilapan, dan gunakan teknik membimbing untuk membetulkan kesilapannya.
  5. Bentukkan suasana bilik komunikasi dan emosi-sosial yang kondusif.
  6. Gunakan gaya kepimpinan demokratik, misalnya melayan idea dan cadangan anggota bawahan dengan hati terbuka.
  7. Elakkan amalan kepimpinan autokratik, misalnya memberi arahan yang kurang senang dipatuhi.
  8. Komunikasi hendaklah diadakan secara muka dengan muka ( face to face)

Implikasi Penggunaan Kemahiran Komunikasi dalam Hubungan Interpersonal yang Berkesan

Nilai-nilai dasar yang mengasaskan komunikasi dan penggunaan kemahiran komunikasi ialah integriti, keadilan dan kehormatan.

Tanggungjawab pegawai perkhidmatan bukan sahaja perlu berusaha menguasai kemahiran-kemahiran melayan, komunikasi, dan memberi respon yang berkesan, tetapi juga perlu mempertimbangkan bagaimana membentuk sesuatu situasi dan iklin yang kondusif supaya komunikasi dapat diperlaksanakan secara berkesan.

Guru kaunseling yang menguruskan komunikasi hendaklah peka dan mengambil tindakan terhadap perkara-perkara berikut:

  1. Memikir tentang keadaan fizikal untuk komunikasi, iaitu bilik, jenis bentuk kerusi, suasana tempat duduk, dan iklim yang kondusif.
  2. kesedaran terhadap halangan-halangan komunikasi
  3. Kesedaran tahap kemampuan diri sendiri; mengakui keperluan untuk mengikuti kursus latihan komunikasi interpersonal, dan mendapat sokongan, serta berupaya membuat rujukan dalam dan luar organisasi.
  4. Kesedaran mengetepikan prejudis dalam diri, pandangan berat sebelah serta stereotaip.

Kesimpulan: Aplikasi Kemahiran-Kemahiran Komunikasi

Di dalam bidang kaunseling komunikasi berkesan terlibat kemahiran-kemahiran komunikasi berikut:

  1. Membina hubungan baik
  2. Memberi perhatian kepada komunikasi lisan dan bukan lisan
  3. Mendengar secara aktif setiap perkataan
  4. menggunakan bahasa sesuia dengan tahap kebolehan
  5. Memahami gerak-geri badan
  6. Memberi respon yang sesuai.

Untuk mewujudkan komunikasi berkesan, kaunselor hendaklah menggunakan pelbagai tindak balas yang sesuai seperti tegur sapa, menerima pandangan, menghulurkan empati, serta mengesan dan mentafsir komunikasi tanpa lisan seperti gaya duduk, air muka, pergerakan tangan, dan nada suara.

Rujukan:

Mok Soon Sang (2008), Pengurusan Bimbingan dan Kaunseling. Multimedia-ES

Resources Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.

Tips Hadapi Peperiksaan



REMAJA terutama pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan sama ada UPSR, Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pasti berdebar-debar menunggu tarikh penentu tak lama lagi.

Usah panik apabila memasuki dewan peperiksaan kerana ia mampu membuatkan calon lupa 50 peratus pelajaran yang telah dipelajari.

  1. Jangan panik

Sebaik melangkah masuk ke dewan peperiksaan, jangan berasa panik kerana ia mampu membuatkan kita lupa 50 peratus apa yang sudah dipelajari selama ini. Tanamkan keyakinan dalam diri anda boleh menjawabnya.

  1. Kajian terhadap topik dan pemetaan maklumat

Semak sama ada anda memahami sepenuhnya, separuh atau tidak memahami langsung bab berkenaan. Jika ada bab yang belum difahami sepenuhnya, segera buat peta minda dengan mencatat maklumat penting yang berkaitan.

  1. Semak soalan tahun lalu (setiap subjek)

Biarpun soalan akan berubah setiap tahun, anda tetap perlu menyemaknya untuk membandingkan kekerapan topik berkenaan keluar dalam setiap peperiksaan.

  1. Banyakkan pembelajaran secara output learning

Di saat-saat akhir, anda seharusnya banyak mengulang kaji pelajaran secara output learning iaitu mengeluarkan kembali kefahaman anda kepada bentuk lakaran ataupun menerangkan kepada rakan. Ia dapat membantu menguatkan ingatan terhadap sesuatu mata pelajaran

  1. Memperbanyakkan latih tubi dan ujian simulasi

Satu cara untuk menguji sejauh mana pemahaman anda terhadap sesuatu subjek adalah melalui latihan berterusan (latih tubi) dan soalan tahun sebelumnya. Ia mampu menolong anda mengatasi bahagian subjek yang lemah.

  1. Nota ringkas

Nota ringkas amat penting dan berguna kerana ia senang dibawa ke mana saja. Anda boleh membaca catatan nota ringkas berkenaan di waktu terluang.

  1. Pastikan mendapat tidur dan rehat secukupnya

Biar sesibuk mana sekalipun, anda perlu mendapat tidur dan rehat cukup. Jangan lupa bersenam sekurang-kurangnya 10 minit bagi memastikan badan kekal cergas. Pengaliran oksigen yang baik boleh menghasilkan otak yang cerdas. Jaga kesihatan diri kerana jika badan tak sihat, macam mana nak belajar atau mengingati pelajaran dengan baik?

  1. Pemakanan berkhasiat dan seimbang

Elak mengambil terlalu banyak makanan yang mengandungi kafein kerana anda mungkin akan sukar tidur dan hilang tumpuan. Elakkan dari memakan makanan masam dan yang telah dicemari semut kerana ia mampu menumpulkan ingatan. Cuba mengambil 21 biji kismis setiap pagi berserta selawat ke atas nabi sebelum memakannnya. Kalau boleh, gantikan gula dengan madu dalam minuman dan makanan.

  1. Kawal emosi

Elak terbabit dalam sebarang konflik yang boleh menggugat ketenangan emosi di saat anda akan menduduki peperiksaan. Jangan menimbulkan sebarang pertelingkahan atau terasa hati dengan rakan-rakan atau keluarga kerana ia boleh menggugat ketenangan ketika menjawab soalan kelak.

  1. Banyakkan berdoa dan bersolat

Sebagai makhluk yang lemah, kita memang tidak dapat lari daripada berdoa kepada Allah s.w.t. Bagi yang beragama Islam, anda perlu memper banyakkan solat hajat, tahajud dan berdoa memohon bantuan-Nya. Sebelum melangkah ke dewan peperiksaan, pohon keampunan dan keredaan daripada ibu bapa dan guru

Tingkatkan Keyakinan Anda dan Hapuskan Ketakutan



KAWAN-KAWAN ANDA MEMANG BERNIAT BAIK APABILA MEREKA MEREKA SERING BERKATA, “Itu Cuma khayalan awak sahaja. Jangan risaulah. Tidak ada apa yang perlu ditakutkan.”

Tetapi hakikatnya kita semua tahu, cara begini tidak akan berjaya. Kata-kata tadi mungkin akan melegakan rasa takut anda untuk beberapa minit atau beberapa jam. Tetapi cara rawatan dengan kata-kata “itu cuma khayalan awak sahaja” tidak akan berjaya meningkatkan keyakinan serta menghapuskan perasaan takut anda.

Memang benar ketakutan itu adalah sesuatu yang nyata. Kita mesti mengakui kewujudannya sebelum kita boleh menghapuskannya. Sebenarnya sebahagian besar ketakutan adalah psikologi. Perasaan risau, tegang, mengalami keadaan memalukan serta panik semuanya timbul akibat dari ketidakupayaan kita menangani imaginasi-imaginasi negatif kita. Tetapi dengan hanya mengenal pasti sahaja ‘kawasan wujudnya ketakutan’ tersebut tidak boleh ‘menyembuhkan ketakutan’. Sekiranya seorang doktor mendapati anda mendapat jangkitan di beberapa bahagian tubuh anda, rawatan yang akan diberikan olehnya tidak akan berhenti di situ sahaja. Sebaliknya, doktor itu akan meneruskan rawatan jangkitan itu.

Kata-kata ‘itu cuma khayalan anda saja” mengandaikan ketakutan itu tidak wujud. Tetapi hakikat sebenar adalah sebaliknya. Ketakutan itu nyata. Ketakutan adalah musuh kejayaan nombor 1. Ketakutan menghalang manusia dari merebut peluang yang ada; ketakutan merendahkan daya jasmani; ketakutan sebenarnya membuat manusia sakit, ketakutan menutup mulut anda dikala anda ingin bersuara.

Ketakutan dalam berbagai bentuk dan saiz merupakan jangkitan psikologi. Kita boleh menyembuhkan jangkitan mental seperti mana kita menyembuhkan jangkitan pada badan-dengan kaedah rawatan yang dibuktikan.

Pertama, sebagai sebahagian daripada persediaan pra-rawatan anda, biasakan diri dengan hakikat bahawa semua keyakinan itu boleh diperoleh dan dibentuk, ianya bukan diperoleh ketika anda lahir. Di antara kenalan anda yang menampakkan sikap berkeyakinan, orang-orang yang berjaya mengatasi kerisauan mereka, yang sentiasa kelihatan tenang sepanjang masa, sebenarnya berjaya membentuk keyakinan tersebut. Anda pun boleh juga!

Apabila berhadapan dengan masalah besar, kita akan sentiasa keresahan sehingga kita mengambil tindakan yang bersesuaian. Harapan cumalah satu pemulaan. Tetapi harapan memerlukan tindakan untuk menghasilkan kejayaan.

Amalkan prinsip anda itu. Sekiranya mengalami ketakutan sama ada besar atau kecil, tenangkan diri anda. Kemudian carilah jawapan untuk soalan ini. Apakah tindakan yang boleh saya ambil untuk mengatasi ketakutan saya ini?

Asingkan ketakutan anda itu, kemudian ambillah tindakan yang sewajarnya.

Dibawah ini, contoh situasi ketakutan dan tindakan pemulihan yang mungkin boleh digunakan.

1.Takut jika gagal dalam peperiksaan-

Tindakan-isikan masa risau anda dengan belajar.

2. Takut pada perkara-perkara yang di luar kawalan anda

Tindakan- Alihkan perhatian anda kepada sesuatu yang betul-betul berlainan. Pergilah ke laman rumah anda dan cabutlah segala rumput yang ada disitu. Bermesra dengan anak-anak atau pergi menonton wayang gambar.

3.Takut mengenai apa orang lain akan fikir dan katakan

Tindakan- Pastikan apa yang anda rancangkan itu betul. Kemudian lakukannya. Tidak ada sesiapa akan memikirkan sesuatu yang dilakukannya itu menguntungkan tanpa kritikan dan komen-komen orang lain.

4.Ketakutan kepada orang ramai

Tindakan-Letakkan orang ramai dalam perspektif yang bersesuaian.Ingat, mereka cumalah seseorang insan lain seperti anda.

Gunakan dua prosedur ini untuk memulihkan ketakutan dan meningkatkan keyakinan.

1. Asingkan ketakutan anda. Benamkan ia. Kenal pasti apa sebenarnya yang anda takutkan.

2. Kemudian ambil tindakan yang wajar. Terdapat beberapa tindakan yang sesuai untuk setiap ketakutan.

Ingatlah, ketidakpastian akan hanya menyemarakkan ketakutan. Ambilah tindakan serta merta. Bersikap tegas.

Kebanyakan perasaan kurang yakin pada diri adalah disebabkan oleh ingatan-ingatan yang disalahuruskan.

Umpamakan minda anda sebagai sebuah bank. Setiap hari anda membuat banyak deposit fikiran di dalam ‘bank pemikiran’ anda. Deposit-deposit fikiran ini membesar dan seterusnya menjadi ingatan anda. Apabila anda berehat untuk berfikir atau apabila anda berhadapan dengan masalah, sebenarnya anda memberitahu bank ingatan anda”Apa yang saya sudah tahu mengenainya.”

Dua perkara penting yang perlu dilakukan untuk membina keyakinan melalui pengurusan cekap memori bank anda.

  1. Depositkan hanya pemikiran positif ke dalam memori bank anda
  2. Keluarkan hanya pemikiran positif dari memori bank anda.

Untuk berfikir secara berkeyakinan, bertindaklah dengan yakin. Bertindaklah sebagaimana yang anda mahukan. Di bawah ini terdapat lima latihan untuk membina keyakinan diri. Baca semua panduan ini dengan berhati-hati. Kemudian lakukan usaha yang gigih untuk mempraktikkannya serta membina keyakinan diri anda.

1.Jadilah orang yang duduk di barisan hadapan

Pernahkan anda perhatikan, dalam bilik darjah atau kuliah atau pehimpunan yang lain,bagaimana kerusi-kerusi di bahagian belakang dipenuhi dahulu? Kebanyakan orang ramai berebut untuk duduk di barisan belakang supaya mereka tidak kelihatan seperti “terlalu ketara.” Alasan mereka takut untuk menjadi terlalu ketara kerana mereka kurang keyakinan diri.

Duduk di barisan belakang membina keyakinan diri. Amalkannya. Dari sekarang, jadikan sebagai satu peraturan untuk duduk sehampir ke hadapan yang anda boleh. Sudah tentu anda akan merasa sedikit ketara berada di hadapan tetapi ingat kejayaan adalah sesuatu yang ketara.

2. Amalkan membuat pertembungan mata

Bagaimana seseorang itu menggunakan matanya dapat memberitahu kita banyak perkara mengenai dirinya. Pada zahirnya anda akan bertanya kepada diri anda soalan-soalan mengenai seseorang yang tidak memandang anda secara tepat di mata. “Apakah yang dia cuba sembunyikan? Apakah yang dia takutkan? Adakah dia tidak memberitahu saya sesuatu?

Selalunya kegagalan melakukan pertembungan mata menyatakan satu daripada dua perkara. Ina mungkin menyatakan, “ Saya merasa lemah di samping anda. Saya merasa rendah diri terhadap anda. Saya merasa takut kepada anda,”

Anda boleh memberi gambaran yang tidak baik mengenai diri anda jika anda mengelak melakukan pertembungan mata. Anda menyatakan, “ Saya takut. Saya kurang yakin.” Atasi perasaan takut ini dengan melakukan pertembungan mata dengan orang lain.

Melihat ke dalam mata orang lain memberitahunya bahawa, “ Saya jujur dan tidak menyembunyikan sesuatu. Saya percaya dengan apa yang saya katakan kepada anda. Saya tidak takut. Saya yakin”.

Gunakan mata anda. Tujukannya tepat pada mata orang lain. Ini bukan sahaja memberikan anda keyakinan. Ini juga membuatkan orang lain merasa yakin terhadap anda.

3. Berjalan 25 peratus lebih pantas

Gunakan teknik berjalan 25 peratus lebih pantas untuk membantu membina keyakinan diri. Sekarang letakkan bahu anda ke belakang, angkat kepala anda, bergerak ke hadapan dengan lebih pantas lagi dan rasakan keyakinan diri anda meningkat.

Hanya cuba dan lihat.

4. Amalkan berani bersuara

Orang-orang yang jarang bersuara semasa perbincangan sentiasa memikirkan, “ Pendapat saya mungkin tidak berguna. Saya mungkin akan berkata sesuatu yang bodoh. Saya tidak mahu orang lain tahu betapa jahilnya saya,” Orang seperti ini sebenarnya kurag keyakinan diri.

Tetapi pada pandangan positif, lebih banyak anda bersuara, lebih banyak anda semarakkan keyakinan anda, dan akan menjadi lebih mudah bersuara di lain kali. Bersuaralah. Ayuh! Ianya adalah vitamin untuk membina keyakinan.

5. Berikan senyuman yang lebar.

Kebanyakkan orang ramai mendengar bahawa senyuman boleh memberi dorongan pada mereka. Mereka telah diberitahu bahawa senyuman adalah ubat yang paling mujarab untuk orang-orang yang kurang berkeyakinan. Tetapi masih ramai yang tidak mempercayainya kerana mereka tidak pernah berusaha untuk senyum ketika mereka berperasaan takut.

Lakukan ujian kecil ini. Cuba anda wujudkan perasaan seperti anda telah ditewaskan dan tersenyum lebar pada masa yang sama. Senyuman yang lebar memberikan anda keyakinan. Senyuman yang lebar menghapuskan ketakutan, membuang sebarang kerisauan, menolong mengatasi perasaan putus harapan anda.

Tunggu apa lagi? Asahkan kuasa senyuman anda.

Rujukan:

David, J.S (1999) Kejayaan Pemikiran Gergasi. Prentice Hall: Petaling Jaya.