Wednesday, January 28, 2009

Pendahuluan

Di sekolah, kita didedahkan dengan pelbagai isu disiplin pada masa kini. Di bawah ini adalah antara jenis masalah pelajar di sekolah.

Jenis Masalah Pelajar

  1. Masalah akademik
  2. Masalah sosial

Masalah Akademik Pelajar

Kita ketahui, pelajar-pelajar di dalam sesebuah kelas mempunyai perbezaan dari segi kecerdasan, kebolehan, fizikal, minat, bakat dan sebagainya. Seara umumnya, pelajar-pelajar yang sentiasa menghadapi masalah pembelajaran adalah terdiri daripada pelajar-pelajar yang mempunyai I.Q. yang rendah.


Faktor-faktor Masalah Pembelajaran

Faktor masalah pembelajaran mungkin terdiri daripada:

  1. Kurikulum kurang sesuai dengan perkembangan kognitif pelajar.
  2. Strategi dan kaedah mengajar yang digunakan kurang sesuia diterima oleh pelajar.
  3. Bahan pembelajaran yang disediakan kurang menarik minat pelajar-pelajar.

Jika kelemahan-kelemahan tersebut tidak dibaiki, pelajar-pelajar akan mulai hilang minat dalam aktivit pembelajaran mereka. Masalah-masalah pembelajaran akan berhimpun hingga ke peringkat di mana pelajar kehilangan minat untuk meneruskan aktiviti pembelajaran dan kerap ponteng sekolah. Akibatnya, pelajar-pelajar akan ketinggalan jauh di belakang dalam pelajaran kerana tidak dapat mengikuti apa yang diajarkan oleh guru atau sebab seringkali tidak hadir sekolah.


Faktor peribadi

Faktor ini merupakan masalah yang berhubung rapat dengan kemiskinan dan masalah sosial. Kemiskinan keluarga dan persekitaran sosial yang rendah biasanya menjejaskan prestasi pembelajaran pelajar di sekolah. Ada sesetengah pelajar yang miskin terpaksa membuat kerja sambilan untuk menambahkan pendapatan keluarga sehingga mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk belajar. Pelajar-pelajar ini juga tidak mendapat galakan daripada ibu bapa mereka. Tambahan pula, pelajar-pelajar ini biasanya bergaul dengan rakan-rakan sebaya yang juga menghadapi masalah peribadi yang serupa. Mereka sama-sama tidak mempunyai motivasi yang kuat untuk belajar.


Faktor Kurang Kecerdasan

Faktor kurang kecerdasan adalah berkait rapat dengan masalah mental. Pelajar-pelajar yang menghadapi masalah mental ini ialah pelajar-pelajar yang lambat berfikir, cepat lupa, sukar memahami sesuatu, lemah pengamatan dan sebagainya. Masalah mental wujud di kalangan pelajar disebabkan perkara berikut:

  1. Warisan keturunan ibu bapa.
  2. Kelahiran secara tidak normal seperti kesulitan kelahiran atau kelahiran tidak cukup bulan.
  3. Kecerdasan otak kerana kena penyakit atau kemalangan
  4. . Kekurangan makanan yang berzat.

Faktor Mental

Faktor mental dalam masalah pembelajaran dapat diperlihatkan seperti tanda-tanda berikut:

  1. Tidak boleh membunyikan perkataan-perkataan dengan tepat
  2. Tidak boleh menyusun perkataan-perkataan untuk membina ayat dengan tepat
  3. Cepat lupa apa yang diajarkan oleh guru
  4. Kadar bacaan lambat atau langsung tidak boleh membaca
  5. Jangka masa penumpuan perhatian kepada pembelajaran terlalu singkat.
  6. Tidak boleh mengingati turutan, misalnya tidak boleh menghafaz sifar darab.
  7. Tidak boleh mengikuti aktiviti pengajaran guru dalam kelas biasa.
  8. Kebolehan memahami konsep dan menguasai kemahiran adalah lemah dan terhad.
  9. Malas, kurang minat serta tidak mempunyai semangat untuk membaca.

Masalah pembelajaran tersebut boleh diatasi melalui pendidikan pemulihan jika pelajar mengalami masalah mental yang ringan. Bagi kes yang berat, seperti masalah terencat akal, bantuan guru khas diperlukan untuk mengajar pelajar-pelajar tersebut dalam sebuah sekolah khas.


Faktor fizikal

Faktor ini boleh kita kaji daripada aspek kesihatan pelajar. Pelajar-pelajar yang kurang sihat akan menghadapi masalah pembelajaran di sekolah. Oleh itu masalah pembelajaran adalah berkait rapat dengan faktor kesihatan seperti berikut:


  1. Kekurangan makanan yang berzat akan merosakkan kesihatan pelajar. Mereka yang kekurangan zat makanan biasanya cepat merasa letih. Oleh itu, mereka tidak boleh menumpukan perhatian terhadap pengajaran guru dengan sepenuhnya. Mereka juga kurang daya dan semangat untuk menyiapkan kerja-kerja yang diberikan oleh guru.
  2. Kekurangan tenaga belajar juga timbul kerana pelajar terpaksa membuat kerja-kerja sambilan untuk menolong ibu bapa. Pelajar-pelajar ini sentiasa kelihatan letih dan kurang semangat untuk membaca.
  3. Pelajar-pelajar yang kurang sihat mudah diserang berbagai jenis penyakit. Mereka sering bercuti sakit. Pelajaran mereka pasti terganggu kerana kerap tidak hadir ke sekolah.
  4. Masalah kecacatan fizikal seperti pekak, bisu, buta, gagap, sengau, kurang pendengaran, penglihatan kurang jelas dan sebagainya boleh menghalang kemajuan pembelajaran pelajar.

Faktor Psikologi

Faktor psikologi adalah berkait rapat dengan masalah emosi. Pelajar-pelajar yang menghadapi masalah emosi biasanya mempunyai perasaan takut, benci, diam, malu, tidak berkeyakinan, rendah diri dan sebagainya.

Masalah emosi berpunca daripada faktor-faktor masalah yang lain seperti faktor pembelajaran, peribadi, mental dan fizikal. Misalnya, mereka yang miskin mungkin merasa takut dan rendah diri. Pelajar-pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran mungkin akan membenci guru dan sekolah atau menjadi seorang pemalu. Pelajar-pelajar yang mempunyai kecacatan fizikal mungkin akan hilang keyakinan diri dalam aktiviti pembelajaran.

Faktor-faktor masalah pembelajaran yang dibincangkan diatas boleh menjejaskan prestasi pelajar dalam aktiviti pembelajaran mereka. Tugas guru ialah mengesan dan berusaha membantu pelajar-pelajar tersebut mengatasi masalah-masalah pembelajaran yang mereka hadapi.


Cara-cara Mengesan Masalah Pembelajaran

  1. Mengenal pasti masalah pembelajaran pelajar dalam penguasaan kemahiran membaca, menulis atau mengira dengan menggunakan cara-cara berikut:

a) Pemerhatian

b) Profil dan Rekod

c) Ujian kertas dan pensel

d) Latihan harian

e) Soal jawab/kuiz

  1. Senaraikan semua masalah pembelajaran yang dikenal pasti.
  2. Mengesan punca masalah dengan menggunakan ujian diagnostik.

Isu disiplin sekolah hari ini…

Masalah Sosial Pelajar

Masalah sosial merupakan masalah disiplin yang sering berlaku di sekolah, khasnya di sekolah menengah masa kini. Ia adalah berkaitan rapat dengan tingkah laku bermasalah pelajar. Di antara salah laku yang berat ialah tingkah laku delinkuen, penyalahgunaan dadah dan tingkah laku tidak bermoral.


Menghisap Rokok dan Penyalahgunaan Dadah

Dadah ialah sebarang bahan kimia seperti ganja, heroin, morfin, pil psikotropik, inhalan dan sebagainya apabila dihidu, dihisap, disuntik atau dimakan akan mengubah fungsi tubuh badan, perasaan atau kelakuan seseorang.

Penyalahgunaan dadah bukan sahaja menjejaskan kesihatan individu diri tetapi juga merosakkan keharmonian keluarga serta norma masyarakat, dan seterusnya mengancam keselamatan dan kemakmuran negara. Apabila seseorang itu menjadi penagih dadah, dia akan berusaha mendapatkan bekalan dadah dengan apa cara sekalipun, termasuk melakukan jenayah.

Dalam tahun 1980-an, kegiatan penagihan dadah bukan sahaja telah menular di kalangan orang dewasa tetapi juga di kalangan pelajar-pelajar sekolah. Mengikut sumber kajian Kementerian Pelajaran Malaysia, di dalam tahun 1983, seramai 192 orang pelajar sekolah didapati telah melibatkan diri dalam aktiviti penyalahgunaan dadah. Pada tahun 1986, bilangan pelajar yang terlibat telah meningkat kepada 240 orang. Mengikit angka statistik, sejak tahun 1981 hingga 1996, jumlah orang yang melibatkan diri dalam penyalahgunaan dadah adalah sebanyak 200,000 bilangannya. Di dalam tahun 1996 seramai 8,307 penagih baru yang dikesan dan seramai 1,445 (17.4%) orang pelajar dalam lingkungan umur 13-15 (89 orang), 16-17 (434 orang dan 18-19 (922 orang) menghisap dadah.

Sekiranya kegiatan penagihan dadah di peringkat sekolah tidak dapat dicegah dan dihapuskan, Kurikulum dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita tidak akan membawa sebarang erti. Jika seseorang pelajar melibatkan diri dengan penyalahgunaan dadah, sudah pasti taraf pencapaian pelajarannya akan merosot. Usaha melahirkan pelajar yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia dan bertanggungjawab akan gagal. Masa depan negara yang bergantung kepada sumbangan tenaga pelajar akan menjadi gelap jika ramai di antara mereka melibatkan diri dengan kegiatan penagihan dadah.


Program Menangani Masalah Penyalahgunaan Dadah

Dalam melaksanakan program mencegah dan menghapuskan kegiatan penyalahgunaan dadah di sekolah, pendekatan-pendekatan berikut boleh dipertimbangkan:

  1. Menganjurkan ceramah untuk menyedarkan pelajar bahayanya penyalahgunaan dadah.
  2. Menganjurkan kempen anti dadah.
  3. Mengadakan pameran anti dadah
  4. menganjurkan pertandinganmelukis poster dan menulis karangan yang berkaitan najis dadah.
  5. Membimbing pelajar dengan memberi perkhidmatan kaunseling
  6. Mengedarkan risalah dan bahan bercetak mengenai najis dadah.
  7. Menubuhkan Jawatankuasa Pencegahan Kegiatan Penagihan Dadah
  8. Melibatkan sepenuhnya semua pelajar dalam aktiviti kokurikulum.

Dalam usaha mencegah kegiatan penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar,peranan guru adalah amat penting. Sikap positif dan usaha seseorang guru adalah senjata utama ke arah menghapuskan najis dadah di sekolah. Seperti kata pepatah “Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati’’. Oleh itu perubahan tingkah laku murid harus diperhatikan. Umumnya, tanda-tanda yang menunjukkan pelajar terlibat dalam penagihan dadah ialah:

    1. Selalu ponteng sekolah
    2. Prestasi pelajaran merosot secara mendadak
    3. Tabiat pelajar dan tingkah lakunya berubah dari baik kepada buruk
    4. Mata berwarna merah dan sering memakai cermin mata hitam.
    5. Sering ke tandas.
    6. Hanya berkawan dengan kumpulan tertentu
    7. Tidak berminat untuk belajar serta selalu mengantuk dalam kelas.
    8. Selalu melindungi bahagian-bahagian tubuh yang tertentu yang terdapat tanda-tanda suntikan.
    9. Kerap kali, sama ada memiliki terlalu banyak wang atau terlalu papa.


Budaya Sekolah Menangani Masalah Pelajar

Budaya Sekolah

Fungsi utama sekolah ialah untuk memberi pendidikan dan latihan. Pendidikan dianggap sebagai proses membentuk seorang manusia yang sanggup berfikir kritis dan mempunyai daya kreatif. Latihan pula bertujuan memberi kemahiran teknikal dan kegiatan psikomotor. Oleh itu peranan sekolah ialah untuk memberi peluang kepada manusia, khususnya generasi muda untuk menguasai pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang difikirkan sesuai untuk meneruskan perkembangan masyarakat.

Sekolah sebagai suatu institusi masyarakat juga mementingkan perkembangan dan perubahan tingkah laku murid-murid mengikuti arah aliran dan kehendak masyarakat. Justeru itu, persekolahan yang berorganisasi ini memainkan peranan dalam mengekalkan corak kehidupan dan kebudayaan yang dianggap sesuai. Misalnya, perkara yang berkaitan interaksi sosial dan moral seperti budi bahasa, sopan santun dan sifat hormat menghormati biasayan dipelajari di sekolah. Tidak ketinggalan juga, sekolah mengajar murid seperti mencinta sekolah dan alam sekitar, demi memupuk budaya sekolah tersendiri.

Pendidikan adalah proses dan aktiviti yang bertujuan membawa perubahan kepada seseorang individu mengikut norma dan nilai sesuatu masyarakat. Pada zaman moden ini, sekolah dipertanggungjawabkan untuk memberi pendidikan dan menghasilkan perubahan positif ke atas pelajar. Oleh itu, sekolah merupakan pengaruh yang utama sebagai satu aspek alam sekeliling yang mendatangkan kesan di dalam pembentukan sahsiah pelajarnya.

Budaya dan Iklim Sekolah

Budaya sekolah kadangkala dikenali sebagai iklim sekolah mengandungi empat aspek utama iaitu aspek fizikal, aspek sosial, aspek perkembangan intelek dan aspek pnggunaan bahasa.


Aspek fizikal seperti:

  1. Kebersihan bilik darjah, kantin serta angota-angota sekolah
  2. Keselamatan anggota-anggota sekolah dilindungi dengan peraturan sekolah, alatan dan kemudahan, keselamatan yang lengkap termsuk mengadakan perkhidmatan keselamatan seperti pertolongan cemas dan kawalan keselamatan lalu lintas
  3. Kemudahan-kemudahan sekolah cukup dan lengkap serta digunakan dengan baik dan cermat.
  4. Keselesaan seperti ruang untuk bergerak yang mencukupi, peredaran udara segar yang membawa suasana tenang dan kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran dan
  5. Keindahan sekolah dengan tumbuh-tumbuhan, bunga, pokok serta perhiasan-perhiasan yang merangsangkan suasana keselesaan.


Aspek sosial seperti:

  1. hormat- menghormati di antara angota-angota sekolah serta mematuhi peraturan-peraturan sekolah;
  2. rasa tangungjawab terhadap diri, anggota sekolah lain serta sekolahnya;
  3. bekerjasama di antara anggota-anggota sekolah, bersedia untuk membantu dan rela menjalankan tugas masing-masing tanpa rungutan;
  4. perpaduan dimanifestasikan daripada integrasi pelbagai kaum dalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum;
  5. kemesraan dimanifestasikan daripada pergaulan dan keriangan dalam aktiviti-aktiviti sosial di sekolah
  6. keadilan dimanifestasikan dalam hukuman dan ganjaran yang mengikut peraturan, layanan sama serta pengagihan kerja dan tugas yang adil.

Aspek perkembangan intelek merangkumi aspek budaya ilmu seperti semangat ingin belajar, sama ada dalam bilik darjah atau di perpustakaan sekolah.

Aspek penggunaan bahasa meliputi penggunaannya secara betul dan jitu di dalam dan di luar bilik darjah.

Ciri-ciri Iklim Persekolahan

Iklim persekolahan yang dikatakan baik dan dikenali sebagai iklim positif dan terbuka mengandungi ciri utama seperti berikut:

1.Perhubungan yang saling hormat-menghormati di antara kakitangan akademik dengan muridnya.

2. Kesukarelaan murid-murid menerima aspirasi dan peraturan sekolah yang diaturkan oleh pihak pentadbiran sekolah.

3. Perasaan kekitaan yang timbul di antara murid-murid dan guru-guru dengan menerima sekolahnya sebagai sebuah keluarga yang mesra dan bahagia.

4. Kewujudan satu keadaan yang setiap murid melibatkan diri dalam kegiatan keilmuan dalam setiap kesempatan, termasuk usaha menggunakan bahasa dengan betul dan sesuai

5.Kewujudan disiplin yang baik, dengan tiada masalah pembelajaran, tiada konflik, tiada pelanggaran disiplin, tiada masalah keceriaan sekolah dan sebagainya.

Iklim sekolah yang dikatakan negatif atau tertutup mengandungi beberapa ciri utama seperti berikut:

  1. Angota-anggota sekolah sering menghadapi ancaman tekanan dan konflik keperibadian, serta masalah disiplin sekolah.
  2. Perasaan kekitaan dan semangat kerjasama di antara anggota-anggota sekolah tidak dapat diperlihatkan.
  3. Keceriaan sekolah adalah kurang memuaskan.
  4. Keterlibatan dalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum adalah sekadar minimum sahaja.
  5. Interaksi sosial di antara anggota-anggota sekolah diperlihatkan pasif.
  6. Kepimpinan Guru Besar/ Pengetua bercorak autokratik, manakala guru-guru bersikap acuh tak acuh dan kurang semangat mengajar.

Rujukan:
Mok Soon Sang (2008), Pengurusan Bimbingan dan Kaunseling. Multimedia-ES
Resources Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.




No comments:

Post a Comment